KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) mengalu-alukan peruntukan RM2.849 bilion kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Belanjawan 2024.
Ini bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif komunikasi, pendigitalan serta sokongan kepada bakat-bakat dan projek kreatif tempatan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata sebagai agensi di bawah KKD, RTM turut menyambut baik keprihatinan kerajaan dalam menghargai bakat-bakat baharu dengan peruntukan sebanyak RM160 juta bagi pembangunan industri kreatif negara.
"Peruntukan ini pastinya dapat menterjemah sekaligus melahirkan lebih ramai pemain industri berkaliber untuk merancakkan lagi penghasilan kandungan yang bermutu dan berkualiti tinggi untuk RTM.
"Ini juga akan menggalakkan penerokaan ilmu-ilmu baharu dalam pembikinan kandungan kreatif," kata Suhaimi menerusi kenyataan.
Tambah Suhaimi, RTM sentiasa komited menjalin kerjasama dengan semua pihak terutamanya penggiat seni kreatif bagi melaksana dan mempromosi inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan 2024 sampai kepada kumpulan sasar.
"RTM percaya peruntukan ini secara langsung akan membantu menyegarkan landskap penyiaran negara dan membuka lebih banyak peluang kepada artis dan penerbit konten tempatan untuk menghasilkan karya-karya berkualiti tinggi dan kandungan digital dengan kualiti bertaraf antarabangsa," kata Suhaimi.