fb fb fb fb fb

LKAN: RM100 juta dikembalikan selepas teguran audit

Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara (KAN) merafak sembah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas perkenan menerima menghadap di Istana Negara pada 19 Jun 2024/Foto JAN

KUALA LUMPUR, 4 Julai -Kerajaan berjaya mendapatkan semula bayaran kira-kira RM100 juta hasil pengauditan yang dijalankan Jabatan Audit Negara (JAN).

Menurut kenyataan dikeluarkan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi susulan audit terhadap LKAN 2020, 2021 dan 2022 melalui Portal Papan Pemuka Ketua Audit Negara (AG’s Dashboard – AGD), didapati Kerajaan telah mendapat bayaran balik, antaranya melibatkan tuntutan penalti, sewa tertunggak dan kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD) dianggarkan berjumlah RM100 juta sehingga suku kedua 2024.

Perkara itu antara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mengenai pengurusan syarikat kerajaan persekutuan yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat pagi tadi; LKAN kedua dalam tahun 2024 selepas pembentangan sebelum ini pada 6 Mac 2024.

LKAN 2/2024 itu turut melaporkan sembilan pengauditan melibatkan 11 kementerian dengan nilai kos keseluruhan program/projek/aktiviti yang diaudit berjumlah RM41.970 bilion. Ia berkaitan aktiviti kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Badan Berkanun Persekutuan.

“Skop pengauditan meliputi projek-projek yang telah dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) hingga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12)," menurut kenyataan itu.

Jelas Wan Suraya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan aktiviti/projek/program kerajaan berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan/penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi/prosedur kerja.

“Kelemahan ini menyebabkan program/aktiviti/projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan Kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang yang dibelanjakan.

Antara isu signifikan dibangkitkan ialah Pengurusan Projek Sungai Nadi Kehidupan River of Life (RoL), Pengurusan Program Pemerkasaan Jaringan dan Infrastruktur Telekomunikasi Jalur Lebar dan Pengurusan Projek serta Program bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Mengenai pengurusan syarikat kerajaan persekutuan ia melibatkan lapan syarikat dengan tumpuan audit berkaitan pencapaian objektif penubuhan, tadbir urus korporat dan kedudukan kewangan.

Syarika terlibat ialah Majlis Profesor Negara, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd., Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn. Bhd, MARA Incorporated Sdn. Bhd. International Islamic University Malaysia, Institute of Strategic and International Studies, Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan i2M Ventures Sdn. Bhd.

Tegas Wan Suraya, terdapat keperluan penambahbaikan berterusan oleh syarikat kerajaan bagi memastikan pelaksanaan aktiviti selaras dengan objektif penubuhan syarikat.

“Kelestarian perniagaan syarikat Kerajaan hendaklah dilengkapi dengan amalan tadbir urus yang baik bagi mewujudkan keyakinan pihak awam,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu Ketua Audit Negara telah mengemukakan sebanyak 64 syor audit untuk dilaksanakan oleh Kementerian/Jabatan/Agensi serta Syarikat Kerajaan yang diaudit di peringkat Persekutuan.

MAT YUNUS BIN SABRI