fb fb fb fb fb

KKR pantau isu kenaikan harga bahan binaan - Nanta

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 4 Julai- Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa memantau perkembangan industri pembinaan khususnya melibatkan isu kenaikan harga bahan binaan dan bahan mentah serta kesannya ke atas kontraktor.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penelitian perlu dilakukan daripada pelbagai sudut sebelum pertimbangan atau pengenalan dasar dibuat kerajaan.

“Penelitian perlu dilakukan daripada pelbagai sudut antaranya indeks kos bahan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia yang akan merekodkan sebarang peningkatan dan penurunan kos binaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai inisiatif kerajaan dalam membantu kontraktor terutama yang sudah diberikan tawaran kerja sebelum kenaikan harga diesel.

Sementara itu bagi menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading), Nanta berkata, pihaknya sedang merangka kaedah membantu kontraktor, terutama gred G1 hingga G4 yang terkesan kenaikan harga diesel.

"Kita memang prihatin terhadap rayuan kontraktor, terutama G1 hingga G4. Saya banyak kali mendengar rayuan mereka yang disifatkan sebagai sesuatu agak mendesak dan perlu ditangani segera.

"Kita sedang memikirkan kaedah membantu mereka yang akan disyorkan kepada kerajaan dan berharap agensi tertentu, terutama MoF akan bersama membincangkan usaha membantu golongan terkesan dengan kenaikan harga diesel ini," katanya.

Terdahulu, Alex berkata Had Nilai Kerja kontraktor tempatan gred G1 dan G2 bagi perolehan kerajaan serta kerja kecil atau pembaikan tidak mengubah struktur asal dan tidak mempunyai Jadual Kadar Kejuruteraan Awam bernilai melebihi RM20,000 hingga RM500,000, masih tertakluk kepada arahan Pekeliling Perbendaharaan 2.1: Kaedah Perolehan Kerajaan (PK2.1).

Justeru, katanya, sebarang kenaikan berbanding nilai ditetapkan PK2.1 adalah di bawah bidang kuasa MoF.

ZEHRA BINTI ZAMBRI