(Anwar Ibrahim)
CHANGLUN, 8 Julai- Kerajaan komited menumpukan usaha untuk segera menyelesaikan masalah kemudahan kesihatan dan sekolah daif di seluruh negara demi kebajikan rakyat, sekali gus meningkatkan mutu kesihatan dan pendidikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, misalnya di Kedah, kerajaan memperuntukkan RM10.1 juta untuk pembaikan 40 klinik kesihatan dan enam sekolah daif daripada jumlah keseluruhan peruntukan Rolling Plan (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di negeri itu.
"Di daerah Kubang Pasu, kerajaan memperuntukkan RM1.25 juta bagi kerja pembaikan empat klinik dan RM300,000 lagi peruntukan bagi pembaikan sebuah sekolah daif.
"Kalau ada sekolah, tandas yang tak dibaiki, perlukan peruntukan lagi, bagi tahu pejabat daerah dan pejabat daerah boleh hubungi saya, tak cukup (peruntukan) kita tambah dan selesaikan masalah tandas di sekolah ini.
"(Selain itu), untuk (projek) bekalan air luar bandar di daerah Kubang Pasu, peruntukan kerajaan RM28 juta diluluskan untuk manfaat penduduk," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kubang Pasu dan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Changlun yang baharu di sini.
Dalam majlis berkenaan, Anwar turut mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan berjumlah RM3.07 juta bagi menyiapkan pembinaan masjid itu.
Tambahan peruntukan tersebut menjadikan kos keseluruhan bagi projek itu bernilai RM5.77 juta yang mengambil kira baki semasa projek terdahulu sebanyak RM2.77 juta.
Sementara itu, perdana menteri mengulang pendirian bahawa Kerajaan Perpaduan yakin dapat menoktahkan kemiskinan tegar dengan membantu 130,000 ketua isi rumah (KIR) keluar daripada permasalahan itu pada tahun ini.
"Saya kata noktahkan kemiskinan tegar, nak hapuskan kemiskinan ambil masa, tetapi kemiskinan tegar ini makna kata susu anak tidak ada, pakaian tidak cukup, nak hantar anak pergi sekolah tidak ada duit, suruh anak berhenti (sekolah) sebab tak cukup makan," katanya.
Kedah mencatatkan bilangan miskin tegar seramai 11,742 KIR, manakala di Kubang Pasu, bilangan miskin tegar adalah seramai 1,589 KIR.
Sehubungan itu, Anwar telah meminta agensi Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan sewajarnya untuk bertindak menyelesaikan isu terbabit.
(Anwar Ibrahim dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kubang Pasu dan Majlis Pecah
Tanah Pembinaan Masjid Changlun yang baharu di Changlun, Kedah)