fb fb fb fb fb

RM1 bilion naik taraf aliran air sawah padi Selangor

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim (tengah) Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran bersama pesawah Sungai Leman hari ini

SEKINCHAN, 3 Mei - Kerajaan Selangor memohon peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi menaik taraf palung dan saluran sawah padi dari Tanjong Karang hingga Sungai Besar.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata projek naik taraf itu untuk meningkatkan aliran air di kawasan seluas lebih 19,500 hektar sawah padi di negeri itu.

Tambah beliau, pihaknya juga telah mengenal pasti lebih 80 hektar tanah untuk pembinaan kolam takungan tambahan serta saluran baharu yang akan dilaksanakan melalui Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor.

"Kita tengoklah kalau Kerajaan Persekutuan boleh bantu, kita boleh siapkan dalam masa tiga tahun. Sebab kita nak tingkatkan produktiviti, ada cadangan buat lima kali tuaian dalam dua tahun yang perlukan air banyak.

"Jadi, kalau kita boleh laksanakan ini, kita dapat tingkatkan lagi produktiviti kerana Selangor sudah tiada tanah baharu untuk sawah.

"Apa yang kita boleh buat ialah tingkatkan hasil produktiviti bagi meningkatkan hasil padi di Barat Laut Selangor," katanya pada Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran bersama pesawah Sungai Leman, di sini hari ini.

Beliau turut melancarkan teknologi baja Briar & Behn Meyer’s Advance & Sustainable Series for Excellence (BASE) yang dilaporkan berjaya meningkatkan hasil padi sebanyak 26.67 peratus di kawasan Sungai Leman.

“Kerajaan negeri juga terbuka untuk menjalin kerjasama strategik dengan sektor swasta bagi memperkukuh hasil padi melalui pendekatan lebih mampan, berdaya saing dan jangka panjang,” katanya lagi.

Selain itu, kerajaan negeri bercadang memberi insentif RM100 bagi setiap tan padi kepada pesawah yang berjaya menghasilkan tujuh tan padi setiap musim tuaian.

GRACE AISYAH KEDAYAN