JOHOR BAHRU, 3 Mei – Seramai 16 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Johor Bahru mengalami keracunan makanan selepas dipercayai menikmati juadah di kantin sekolah, malam semalam.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, semua pelajar terbabit mengalami gejala seperti cirit-birit, muntah dan demam.
Beliau menerima laporan berkaitan insiden tersebut daripada pihak sekolah dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru, pada pukul dua petang tadi.
“Antara 16 pelajar telah dihantar ke fasiliti kesihatan berlainan, ada di fasiliti kesihatan kerajaan dan juga swasta.
"Kami mendapat maklumat daripada pihak MRSM dan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, dan pegawai keselamatan makanan sudah diarahkan untuk menjalankan siasatan,” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian JumpX di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Menurutnya, PKD Johor Bahru turut diarahkan mengambil sampel daripada dapur kantin sekolah untuk tujuan siasatan lanjut.
"Arahan penutupan sementara kantin juga telah dikeluarkan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan," katanya.
Setakat ini, punca kejadian keracunan masih dalam siasatan.