KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Kerajaan komited memartabatkan ekonomi di peringkat komuniti dengan menyediakan peruntukan RM1 bilion di bawah Dana Komuniti MADANI (DKM), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan bagi mendokong usaha itu, kerajaan memperkenalkan Program Komuniti MADANI di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Anwar berkata, program itu melibatkan lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan; jahitan dan kraf tangan; herba dan kesihatan; pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
"Setiap komuniti, baik di kampung mahupun di bandar, akan diberi kebebasan bermusyawarah untuk memutuskan sektor tumpuan pilihan mereka.
"Saya yakin, kita sebenarnya boleh mengangkat martabat ekonomi komuniti setempat supaya menghasilkan pendapatan bermakna buat mereka," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, kerajaan akan menyediakan geran antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti untuk menjayakan Program Komuniti MADANI.
Belanjawan MADANI Kedua memperuntukkan sejumlah RM393.8 bilion khusus untuk meningkatkan taraf ekonomi dan rakyat di negara ini.
Anwar berkata, Belanjawan 2024 merupakan belanjawan tertinggi pernah dibentangkan.