(Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof pada sidang media di lobi Parlimen hari ini)
KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat dianggap komprehensif dan meliputi seluruh kumpulan sasar seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Belanjawan 2024 yang juga merupakan Belanjawan MADANI Kedua itu turut menyaksikan keseriusan kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan tegar pada penghujung tahun ini.
"Bagi KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah), kenaikan belanjawan 4.7 peratus atau bersamaaan RM513 juta kali ini (telah) menjadikan kementerian ini memperoleh kira-kira RM11.55 bilion.
"Kita berterima kasih kerana peruntukan yang diterima ini dapat menjamin kesinambungan projek sedia ada dan juga meningkatkan pelaksanaan projek pembangunan di desa termasuk di kawasan pedalaman," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pertambahan peruntukan itu menunjukkan komitmen tinggi dan berterusan kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar yang akan memanfaatkan 8.1 juta penduduk desa.
"Ini seterusnya dapat menyokong pembangunan sosioekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera dan makmur seperti mana digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030," tambahnya.
Sementara Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berpandangan Belanjawan 2024 selari dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan kerajaan termasuk usaha menstruktur semula ekonomi dan menjadikan Malaysia peneraju di rantau Asia.
"Kalau kita melihat keseluruhan konteks yang kita tengok tadi (Belanjawan 2024), itulah dicorakkan dari sudut ekonomi dan juga menyentuh kesejahteraan rakyat, (serta) macam mana nak perkasa ekonomi kita, macam mana nak perkasa kedudukan kewangan negara kita (dengan) melihat penstukturan subsidi dan sebagainya.
"Ini adalah sebahagian daripada fokus termasuklah bagaimana kita hendak menambah pendapat negara dan menambah baik tatakelola serta keseluruhannya dengan memastikan jentera kerajaan yang lebih baik," katanya pada sidang media sama.
Dalam pada itu, penambahan peruntukan bagi Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2024 adalah bukti kesungguhan kerajaan dalam mengangkat kebajikan kedua-dua negeri tersebut.
Namun jelas Fadillah, fokus perlu ditumpukan kepada agihan peruntukan berkenaan agar dapat sampai ke sektor disasarkan.
"Untuk Sarawak dan Sabah, masing-masing dapat peningkatan RM1 bilion, iaitu RM6.6 bilion bagi Sabah dan RM5.5 bilion Sarawak.
"Yang perlu kita tumpukan sekarang adalah daripada segi pelaksanaan, walaupun peruntukkan ada tetapi kalau pelaksanaan tidak betul, maka peruntukkan itu tidak turun ke bawah, itu patut difokuskan dalam belanjawan," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa rundingan berhubung Pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) masih diteruskan.
Pertemuan kedua akan dibuat bersama EU pada Disember depan mengenai tindakan susulan berhubung isu berkenaan.
Februari lalu, Malaysia telah menyertai misi bersama Indonesia dan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bagi menyuarakan kebimbangan dan bantahan terhadap pelaksanaan EUDR di Jakarta.
(Fadillah Yusof dan Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di lobi Parlimen hari ini)