KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Ganjaran sebanyak RM500 disediakan kepada golongan belia yang berjaya melakukan aktiviti kesukarelawanan dengan badan diiktiraf kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi membudaya semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia berumur 18 hingga 20 tahun dengan menerapkan konsep “pay it forward”.
Selain itu, Anwar berkata sebanyak RM20 juta turut diperuntukan untuk program Rakan Muda.
"Program Rakan Muda telah diberi nafas baharu dalam usaha membentuk jati diri dan keperibadian anak muda Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, di sini.
Sementara itu, Anwar berkata Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
"Sejak dilaksanakan, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) telah melahirkan lebih 7,000 usahawan belia Bumiputera dan mewujudkan hampir 14,000 peluang pekerjaan," katanya.
Tambah Anwar, skim TEKUN Belia Mobilepreneur turut akan diteruskan dengan peruntukan RM10 juta.
Ini bagi membiayai modal anak muda yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.