fb fb fb fb fb

Pemberian khas interim Sabah, Sarawak meningkat RM300 juta - PM

(Foto Fail)

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Usaha menzahirkan kesepakatan yang dicapai pemimpin terdahulu dalam Perjanjian Malaysia 1963 telah direalisasikan di bawah Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan Persekutuan untuk pembangunan Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion sebelum ini manakala untuk pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion.

"Bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan, kerajaan Persekutuan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan Perpaduan telah meningkatkan kadar pemberian khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta berbanding RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.

"Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 telah diluluskan di Dewan Rakyat kelmarin bagi memperuntukkan wakil kerajaan Sabah yang dinamakan Ketua Menteri Sabah dan seorang wakil kerajaan Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak selaras dengan hasil Laporan, Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963.

"Kerajaan pusat bersama-sama kerajaan Sabah telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.

"Walaupun kuasa kawal selia diserahkan kepada kerajaan Sabah, kerajaan Persekutuan tetap akan terus membantu Sabah dalam mengukuhkan industri bekalan elektrik di Sabah melalui pemberian subsidi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehingga Pelan Transformasi SESB berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun iaitu sehingga 2030.

"Bagi menjamin kestabilan dan mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah khususnya di kawasan timur Sabah, kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan kepada pelaksanaan penjanaan tenaga secara solar hibrid serta pembinaan jaringan talian penghantar elektrik di selatan Sabah.

"Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada kerajaan negeri," kata Anwar pada pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini.


(Bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan, kerajaan Persekutuan juga
telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah
nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak.)

 

Media Baharu