KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan segala insentif Belanjawan 2024 dimanfaatkan sepenuhnya dengan tatakelola kewangan terbaik, demi memelihara ketenteraman dan keamanan negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM juga akan kekal komited dengan fokus menyampaikan perkhidmatan bertunjangkan integriti, serta mendukung dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.
"PDRM menzahirkan ucapan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukkan dan insentif yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM19 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi terus memperkukuhkan ketenteraman awam dan menjamin keamanan serta keselamatan negara.
Berikut adalah insentif bakal dinikmati warga PDRM:
I. Peruntukan sebanyak RM19 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi terus memperkukuhkan ketenteraman awam dan menjamin keamanan serta keselamatan negara;
II. Peruntukan RM20 juta kepada National Scam Response Centre (NSRC) berbanding RM10 juta tahun lalu bagi meningkatkan lagi fungsi NSRC membanteras jenayah scam;
III. Penggantian aset lama dengan tujuh buah pesawat kapal terbang Twin Engine dan lima buah helikopter ringan PDRM bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara;
IV. RM2.4 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam termasuk yang diduduki warga PDRM;
V. Peruntukan RM5 juta bagi menambah bilangan anjing pengesan K9 untuk polis, bomba dan kastam;
VI. Pelantikan renjer komuniti dalam kalangan veteran ATM, PDRM, Orang Asli dan komuniti setempat dengan peruntukan RM60 juta;
VII. Bayaran insentif awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata serta seluruh anggota beruniform;
VIII. Bayaran insentif sebanyak RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen;
IX. Liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000; dan
X. Pemberian ganjaran untuk agensi penguat kuasa yang menunjukkan komitmen berterusan dan prestasi cemerlang.
(Razarudin Husain)