fb fb fb fb fb

Naik taraf projek LRT3, berita baik kepada pengguna pengangkutan awam

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Peruntukan sebanyak RM4.7 billion untuk menaik taraf projek LRT3 (LRT Laluan Shah Alam) dan juga sistem sokongan merupakan satu berita baik bagi pengguna pengangkutan awam, khususnya bagi mereka yang berada di koridor barat Lembah Klang.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memaklumkan naik taraf itu bakal memberi manfaat kepada dua juta pengguna di sepanjang koridor berkenaan.

(FOTO HIASAN)

"Peruntukan tersebut akan digunakan bagi mengembalikan semula lima stesen yang ditangguhkan pembinaannya sebelum ini, iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

"Pengembalian stesen-stesen ini dijangka mampu menambah baik kesalinghubungan perkhidmatan LRT3," kata Prasarana menerusi kenyataan.

Tambah Prasarana, peruntukan itu juga merangkumi perolehan tiga set tren tambahan, penambahbaikan sistem sokongan dan perluasan depoh sedia ada di Johan Setia.

Sementara itu, Prasarana berkata perolehan 150 unit bas elektrik dan pembinaan tiga depoh bas oleh Prasarana dengan kos RM600 juta bagi menyediakan kemudahan batuan pertama dan terakhir (First Mile Last Mile) untuk projek LRT3 adalah langkah menyokong pelepasan karbon sifar bersih.

Prasarana turut menyambut baik penerusan inisiatif pas bulanan My50 bagi pengguna pengangkutan awam yang bakal memberikan manfaat kepada hampir 180,000 pengguna.

Media Baharu