fb fb fb fb fb

RM1.3 juta dadah dirampas di KLIA

SEPANG, 4 Oktober- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup dadah bernilai RM1.3 juta dengan anggaran berat 10 kilogram.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad, kedua-dua kes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu ditumpaskan dalam tempoh kurang seminggu pada bulan lepas.

Pada 27 September, lelaki warga Korea berusia 83 tahun yang masuk ke Malaysia menggunakan pas pelancong ditahan di pintu masuk KLIA 1 pada jam 9.00 pagi.

"Melalui semakan penerbangan, suspek menaiki pesawat Qatar Airways yang berlepas dari Doha Airport ke KLIA 1 pada 26 September dan tiba di Malaysia pada 27 September.

"Hasil pemeriksaan terhadap dua bagasi dibawa suspek menemui dua bungkusan berwarna perak yang disyaki mengandungi dadah jenis kokain bernilai RM770,000 dengan anggaran berat 3.85kg. Dadah tersebut dipercayai untuk pasaran dalam negara," katanya kepada pemberita di sini.

Mahkamah membenarkan permohonan reman selama 15 hari sehingga 12 Oktober terhadap suspek.

Sementara itu, lelaki warga Malaysia berusia 21 tahun pula ditahan selepas pengimbasan dilakukan terhadap bagasinya menemui objek mencurigakan di dalam satu kotak permainan dan enam kotak makanan yang disyaki dadah.

Sazali berkata, "hasil siasatan menemui 14 bar mampatan serbuk putih disyaki dadah jenis heroin bernilai RM438,000 dengan anggaran berat kasar 4.95 kilogram."

Selain itu, lima paket mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis Ketamin bernilai RM60,000 dengan anggaran berat kasar satu kilogram turut ditemui.

Jumlah kasar dadah tersebut adalah sebanyak 5.95 kilogram dengan anggaran harga pasaran hampir RM500,000.

Siasatan awal mendapati heroin dan ketamin itu diterima dari sindiket yang bergiat aktif di Lembah Klang untuk dibawa keluar dari Malaysia.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

(Dua cubaan menyeludup dadah ditumpaskan JKDM di KLIA)

Media Baharu