KUALA LUMPUR, 4 Oktober -Malaysia perkukuh kerjasama strategik bersama Arab Saudi dan Kazakhstan menerusi sektor infrastruktur, keselamatan dan penyelenggaraan jalan raya.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat kedua-dua pemimpin dari negara berkenaan terhadap beliau sempena Kongres Jalan Sedunia 2023 di Prague, Republik Czech.
Semasa pertemuannya dengan delegasi Arab Saudi diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan bagi Hal Ehwal Jalan Raya Arab Saudi, Badr Bin Abdullah Al-Dulami, kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai pelbagai perkara serta bertekad memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam aspek keselamatan dan penyelenggaraan jalan.
Delegasi Arab Saudi juga menyatakan minat mempelajari inisiatif keselamatan jalan raya Malaysia terutamanya melalui kempen MYJalan yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara
Sementara itu delegasi Kazakhstan yang diketuai Menteri Pengangkutannya Marat Karabayev menyatakan hasrat dan minat negara itu untuk membawa masuk kepakaran Malaysia dalam membina, membangun dan menguruskan infrastruktur pelabuhan di republik itu.
Ini sekali gus membuktikan kepakaran Malaysia dalam bidang pembinaan infrastruktur turut menarik perhatian luar.
(FOTO FB alexnantalinggi)