fb fb fb fb fb

RM1.2 juta diperuntuk bagi projek tebatan banjir di Larut Matang dan Selama

Penduduk terjejas banjir menerima sumbangan disampaikan oleh Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Neow Choo Seong di Taiping Perak /RTM

TAIPING, 24 Oktober– Kerajaan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM1.2 juta bagi melaksanakan enam projek infrastruktur dan tebatan banjir di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) yang terjejas akibat banjir sejak semalam.

Peruntukan itu disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak bagi memperkukuh sistem saliran, mendalam dan melebarkan sungai serta menambah baik infrastruktur di kawasan berisiko tinggi.

Menurut Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Neow Choo Seong, keputusan meluluskan dana tersebut dibuat hasil lawatan kerja beliau ke kawasan terjejas pada 3 Oktober lalu.

Peruntukan berkenaan dalam proses pertimbangan sebelum kejadian banjir besar kali ini, namun arahan segera dikeluarkan bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

“Pihak JPS telah mengemukakan permohonan selepas melakukan kajian dan penilaian teknikal. TPM mengarahkan supaya peruntukan RM1.2 juta disalurkan serta-merta melalui JPS Negeri Perak agar perkara ini tidak berulang,” katanya.

Neow berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ADTEC Taiping malam ini, termasuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terkesan banjir.

Enam projek yang akan dilaksanakan melibatkan kerja-kerja pembinaan dan pemulihan ban banjir di Matang Gelugor, Taman Simpang Makmur serta Masjid Tengku Menteri di Mukim Jebong, selain pemulihan saluran utama di SMK Simpang dan Taman Kaya.

Projek turut merangkumi pemulihan struktur kolam takungan banjir di Taman Pangkalan Ayu, Mukim Pengkalan Aor, yang dikenal pasti antara kawasan kerap dilanda banjir kilat.

Selain itu, kerajaan juga akan memberi tumpuan terhadap pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan memperkukuh sistem amaran awal serta menambah kemudahan bot, jentera dan kelengkapan logistik di lokasi berisiko tinggi banjir.

SITI NOORAIN ABDULLAH