GEORGE TOWN, 24 Oktober - Sekurang-kurangnya 791 penduduk daripada 217 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Pulau Pinang sehingga pukul 8.00 malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, empat PPS dibuka di daerah Seberang Perai Utara (SPU) iaitu di Dewan Banjir Labuh Banting menempatkan 119 penduduk terjejas banjir, Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi (403), Sekolah Agama Rakyat Ar-Ridwan Nyior Sebatang (126) dan SK Padang Menora masih belum diketahui jumlah penduduk terjejas.
Di Seberang Perai Tengah (SPT) pula melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir yang menempatkan 42 penduduk terjejas dan SK Guar Perahu (78).
Manakala di Barat Daya, hanya satu PPS dibuka iaitu SK Tan Sri Awang Had Salleh yang menempatkan 23 penduduk terjejas.
Setakat pukul 8.00 malam tadi, hanya Sungai Kulim di Kampung Labuh Banting, Seberang Perai Tengah mencatatkan paras bahaya.
Manakala, dua lagi sungai iaitu Kolam Sungai Dondang dan Sungai Air Itam di Lorong Batu Lanchang berada pada paras amaran.