fb fb fb fb fb

RISDA kenal pasti 205,209 hektar kebun getah matang tidak bertoreh

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Sejumlah 205,209 hektar kebun getah matang tidak bertoreh dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan dapatan Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, bagi mengaktifkan semula kebun-kebun ini agar kembali mengeluarkan hasil, sebanyak RM32.4 juta diperuntukkan kerajaan bawah Program Getah Terbiar (PGT) bagi tahun ini.

Peruntukan tersebut dijangka memanfaatkan kawasan seluas 10,000 hektar serta memberi manfaat kepada 6,700 pekebun kecil.

"Pendekatan integrasi tanaman kontan dan agrokomoditi lain seperti pisang, nanas, jagung serta ternakan turut dilaksanakan oleh RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) sebagai strategi mempelbagaikan sumber pendapatan tambahan.

"Pada tahun 2025, RISDA telah diperuntukkan sejumlah RM28.2 juta bagi melaksanakan Program Agromakanan yang melibatkan seramai 1,400 pekebun kecil," katanya semasa menjawab soalan Wakil Baling, Hassan Saad di Parlimen.

Menurut beliau, bagi daerah Baling sebanyak RM900,000 diperuntukkan, melibatkan kawasan seluas 281 hektar dan 187 orang penerima.

MASNIZA AWANG KECHIK