fb fb fb fb fb

1,171 projek perumahan swasta sakit berjaya dipulihkan

Ia melibatkan 139,848 unit rumah yang dipulihkan sejak mesyuarat pertama TFST pada 2023/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - 1,171 projek perumahan swasta sakit melibatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM21.07 bilion berjaya dipulihkan, setakat Jun lalu.

Ia antara kejayaan terbesar Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menterinya Nga Kor Ming berkata, kejayaan itu melibatkan 139,848 unit rumah yang dipulihkan sejak mesyuarat pertama TFST pada 2023.

"Bagi melindungi pembeli yang terjejas, KPKT turut menyediakan bantuan penstrukturan semula pinjaman melalui LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam) dan institusi pembiayaan, serta mengeluarkan surat pengesahan untuk penamatan perjanjian jual beli," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir. Ts Zahir Hassan mengenai langkah penyelesaian bagi projek perumahan swasta sakit.

Menurut Nga, pihaknya turut menyasarkan sifar projek terbengkalai menjelang 2030 menerusi pelaksanaan polisi 'bina dan jual' kepada pemaju perumahan.

MASNIZA AWANG KECHIK