fb fb fb fb fb

5 lelaki didakwa miliki 25,000 kg LPG tanpa lesen

Lima lelaki termasuk seorang warga tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memiliki lebih 25,000 kilogram LPG tanpa lesen. Foto- RTM

SEREMBAN, 27 Ogos - Seorang lelaki tempatan dan empat warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memiliki lebih 25,000 kilogram gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen pada 22 Ogos lalu.

Tertuduh tempatan, Chong Ming Fei, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada empat warga Myanmar kerana mereka tidak memahami Bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa memiliki LPG yang disimpan dalam 1,255 tong serta tangki di sebuah premis di Jalan Tampin-Senawang.

Chong turut berdepan satu lagi pertuduhan berasingan kerana memiliki lebih 36,000 liter diesel tanpa lesen sah.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Alimah Mohd Sanusi, berkata pihak pendakwaan menawarkan jaminan tinggi memandangkan kes itu melibatkan barang kawalan selain risiko tertuduh melarikan diri.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Chong dijamin sebanyak RM18,000 bagi dua pertuduhan, manakala empat warga Myanmar masing-masing dibenarkan jamin RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Oktober depan.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN