PUTRAJAYA, 27 Ogos - Inisiatif Baucar Buku MADANI bernilai RM100 akan mula dilaksanakan mulai esok hingga 12 Disember ini; melibatkan 500,000 pelajar dari pelbagai institusi pendidikan tinggi termasuk universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi swasta.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), inisiatif itu sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk menyokong keperluan pembelajaran pelajar serta mengurangkan beban kewangan yang mereka tanggung.
Selain itu, ia turut bertujuan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan generasi muda, khususnya mahasiswa, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi industri buku.
"Pelaksanaan inisiatif ini akan dibuat secara dalam talian sepenuhnya melalui portal rasmi https://mysiswaplace.my (MySiswaPlace), yang berfungsi sebagai platform sehenti untuk semakan kelayakan, penjanaan dan penebusan baucar, serta pembelian bahan bacaan.
"Portal ini menawarkan lebih 1 juta judul bahan bacaan, termasuk buku fizikal dan e-buku yang disediakan oleh lebih 250 rakan niaga," menurut kenyataan itu.
Baucar yang disediakan boleh digunakan oleh semua pelajar yang layak untuk membeli pelbagai bahan seperti buku akademik, bahan rujukan, bacaan ilmiah, dan lain-lain bahan pendidikan.
KPT berharap agar semua pelajar yang berkelayakan dapat memanfaatkan inisiatif itu sepenuhnya bagi menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan keupayaan diri selaras dengan matlamat kementerian dalam melahirkan bakat terbaik negara.
KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas persetujuan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif baucar buku RM100 kepada pelajar warganegara Malaysia.