KUALA LUMPUR, 7 November- Ringgit diunjur mengukuh pada paras RM4.30 berbanding dolar Amerika Syarikat menjelang akhir tahun ini.
MIDF Research berkata, unjuran didorong pendirian Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat yang berpotensi mengakhiri kitaran dasar monetarinya yang ketat, buat masa ini.
MIDF dalam nota penyelidikannya turut meramalkan pengukuhan mata wang negara-negara sedang pesat membangun, yang akan menyaksikan kemasukan semula aliran dana ke pasaran lebih berisiko.
Seiring kadar dasar semalaman (OPR) yang dikekalkan pada 3 peratus, ringgit dijangka turut meraih manfaat ekoran tiada kenaikan dari perbezaan Kadar Dana Persekutuan (FFR).
Asas-asas ekonomi pula secara amnya kekal menyokong ringgit dalam senario ekonomi domestik yang berdaya tahan dan inflasi yang terkawal.
Ekonomi China turut menunjukkan petanda pemulihan berterusan serta peningkatan eksport elektrikal dan elektronik yang mencerminkan prestasi perdagangan luar lebih positif dalam bulan-bulan akan datang.
Meski optimis terhadap pengukuhan ringgit, firma tersebut memaklumkan, masih terdapat kecenderungan untuk penurunan.
Ketiadaan petunjuk jelas mengenai penangguhan kenaikan kadar faedah Fed selain dan krisis geopolitik Asia Barat yang terus meruncing akan meningkatkan lagi sokongan terhadap dolar Amerika.