fb fb fb fb fb

Pelaksanaan projek tahun ini lebih baik tapi masih belum memuaskan- PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan bergambar bersama warga kerjanya selepas majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan / BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 November- Pelaksanaan projek-projek pada tahun ini berbanding tahun lepas adalah lebih baik namun ia belum cukup memuaskan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menggesa semua kementerian mempercepat pelaksanaan projek-projek yang dirancang sebelum akhir tahun ini.

"Unjuran perbelanjaan dan pelaksanaan projek untuk 2023, sepatutnya lebih mengatasi 90% pelaksanaan tetapi ini belum dicapai, jadi saya harap semua jentera mengambil kira perkara ini kerana kita hanya ada tidak sampai dua bulan lagi untuk akhir 2023 dan kita mengharapkan pelaksanaan itu dapat dipercepatkan,"katanya.

Beliau juga telah meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk menyelaraskan kecepatan pelaksanaan projek-projek pelaburan dalam negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan warga Kementerian Kewangan, di Putrajaya.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar memaklumkan Bank Negara Malaysia dan Petronas yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) disaran berkongsi kepakaran dalam bidang berkenaan dengan jabatan-jabatan kerajaan.

Beliau telah berbincang dengan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, supaya kepakaran itu dimanfaatkan oleh jabatan kerajaan.

Tambahnya,dalam usaha untuk mempertingkatkan kepakaran dan kemahiran dalam bidang ICT di negara ini, kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan kerajaan pimpinannya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE