fb fb fb fb fb

Ribut: SK Sijangkang Jaya dinasihat tangguh sesi persekolahan

FOTO BOMBA SELANGOR

KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya dinasihatkan supaya menangguhkan sesi persekolahan sehingga keselamatan struktur bangunan terjamin, susulan kejadian ribut berserta hujan lebat petang tadi.

Menerusi perkongsian di Facebook, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, arahan tersebut dikeluarkan selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan JKR Kuala Langat menjalankan pemeriksaan struktur dan penilaian keselamatan di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) JKR Selangor turut melakukan pemeriksaan terhadap sistem pendawaian bangunan terjejas sebagai langkah awal mengelakkan sebarang kemalangan.

"JKR Selangor telah menasihatkan pihak sekolah agar menangguhkan sesi persekolahan sehingga keselamatan struktur bangunan terjamin.

"Blok bangunan baharu di bawah program Sekolah Berkepadatan Tinggi yang baru diserahkan hari ini turut mengalami kerosakan kecil pada penutup bumbung dan kontraktor telah diarahkan untuk melaksanakan pembaikan segera," katanya.

Tambahnya, JKR kini sedang menyediakan anggaran kerja-kerja pembersihan dan perlindungan aset bagi mengelakkan kerosakan lebih serius di kawasan terjejas.

"Saya telah mengarahkan agar semua tindakan dilaksanakan segera dengan sewajarnya. Saya menyeru semua pihak khususnya orang awam, supaya berhati-hati dan menjauhi kawasan yang mengalami kerosakan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau turut merakamkan rasa simpati terhadap mangsa terlibat dalam insiden runtuhan bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang di Dewan Wawasan Kampung Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, ekoran kejadian ribut berkenaan.

Terdahulu media melaporkan, seorang wanita berusia 51 tahun cedera selepas terperangkap di bawah runtuhan bumbung dewan tersebut yang menempatkan Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang hari ini.

Sementara Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar memaklumkan, bumbung sebuah premis yang terletak bersebelahan dewan berkenaan yang menempatkan surau Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) turut runtuh menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh murid cedera ringan.

SK Sijangkang Jaya turut mengalami kerosakan apabila sebahagian besar struktur bumbung sekolah itu diterbangkan akibat ribut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM