fb fb fb fb fb

Ribut petir landa beberapa kawasan Sabah, Labuan hingga 10 pagi

Amaran Ribut Petir libatkan beberapa kawasan di Sabah dan Labuan sehingga 10 pagi ini

KUALA LUMPUR, 25 Disember – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Ribut Petir melibatkan beberapa kawasan di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sehingga 10.00 pagi ini.

Menurut MetMalaysia, ribut petir yang disertai hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kawasan Pedalaman Sabah meliputi Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan, Keningau dan Tambunan.

"Cuaca sama turut melibatkan kawasan Pantai Barat Sabah iaitu Papar dan Ranau, selain kawasan Sandakan termasuk Telupid dan Beluran. Wilayah Persekutuan Labuan juga berada dalam kawasan amaran," menurut kenyataan.

Amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berterusan melebihi satu jam.

Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada, mengelakkan aktiviti luar, serta mengambil langkah keselamatan terutama di kawasan berisiko banjir kilat, pokok tumbang dan angin kencang.

Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek dan sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN