KUALA LUMPUR, 21 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Ahad mengeluarkan Amaran Ribut Petir melibatkan beberapa kawasan di Sarawak susulan jangkaan ribut petir, hujan lebat serta angin kencang sehingga 12.00 tengah hari ini.
Menurut kenyataan MetMalaysia, kawasan terlibat ialah Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong) serta Mukah meliputi Tanjung Manis, Daro dan Matu, dengan amaran berkuat kuasa sehingga 12.00 tengah hari, Ahad.
MetMalaysia memaklumkan amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mengelakkan aktiviti luar serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.