KANGAR, 21 Disember - Seramai 10 pemohon di Perlis menerima kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) masing-masing.
Rumah berkenaan disiapkan oleh lima kontraktor yang dilantik dengan harga RM75,000 dimana kerajaan memberikan subsidi sebanyak RM20,000 yang mana pemohon hanya perlu membayar sebanyak RM300 setiap bulan tanpa faedah untuk nilai rumah RM55,000.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling, inisiatif kerajaan menyediakan RMR kepada golongan berpendapatan rendah satu langkah yang tepat ketika kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
Pelaksanaan program RMR membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan perumahan mampu milik, sekali gus membantu golongan memerlukan memiliki kediaman yang selesa, selamat dan berkualiti.
''Penghargaan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad, kontraktor pelaksana serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan pembinaan rumah-rumah berkenaan mengikut jadual," katanya menerusi kenyataan.
Beliau memaklumkan pada Majlis Walkabout, Penyerahan Kunci Dan Penyampaian Sijil Kepada Kontraktor Pelaksana RMR 2025 di sini.
Penyerahan kunci kepada 10 penerima disempurnakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai.
Bersempena program itu, seramai 50 penduduk yang terjejas akibat banjir pada penghujung November lalu turut menerima Bakul Rahmah sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral.