fb fb fb fb fb

Ribut petir, hujan lebat dijangka landa beberapa negeri hingga awal pagi esok

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga 2.00 pagi, Isnin, 22 Disember 2025.

Menurut METMalaysia dalam satu kenyataan, ribut petir yang disertai hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa daerah di Perak, termasuk Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Hilir Perak serta Muallim.

Amaran sama turut melibatkan kawasan Raub di Pahang, serta beberapa daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. Di Negeri Sembilan, daerah yang terjejas termasuk Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin, selain keseluruhan negeri Melaka.

Di Sarawak, cuaca buruk dijangka melanda Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song), Bintulu (Bintulu), Miri serta Limbang.

Sementara itu di Sabah, kawasan yang terlibat ialah Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort, diikuti Tawau (Tawau dan Semporna), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) serta Kudat (Kota Marudu dan Pitas). Wilayah Persekutuan Labuan turut berada dalam kawasan amaran.

METMalaysia memaklumkan bahawa amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi tempoh satu jam.

Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI