KUCHING, 21 Disember - Penganjuran program berkhatan beramai-ramai dilihat sebagai platform berkesan untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, selain meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata, inisiatif sedemikian wajar diperluaskan dan dijadikan program berterusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), di Sarawak.
Edisi kelima program berkhatan beramai-ramai kali ini melibatkan penyertaan seramai 20 kanak-kanak dari kawasan setempat.
"Kalau semua JKKK di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Sarawak kerap mengadakan program berkhatan beramai, ia mamu meringankan beban kewangan ibu bapa. Untuk itu, setiap JKKK perlu menjadikan program berkhatan beramai-ramai sebagai aktiviti tetap pada musim cuti sekolah.
"Inisiatif kemasyarakatan seperti ini mencerminkan usaha berterusan dalam menjaga kebajikan komuniti serta mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Berkhatan Beramai-ramai, Musim Cuti Sekolah 2025 anjuran JKKK Blok C, Kampung Haji Baki di Dewan Komuniti Haji Baki, semalam.