KOTA MARUDU, 21 Disember - Dua individu cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kampung Mangaris 3, Kota Marudu, petang tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan kemalangan itu melibatkan empat individu.
"Sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.23 petang, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu tiba di lokasi kejadian pada pukul 3.39 petang," menurut kenyataan itu.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Dusin Sagaron berkata, dua mangsa masing-masing merupakan seorang lelaki, 33 tahun dan wanita, 44 tahun mengalami cedera parah namun tidak tersepit.
Pasukan bomba menggunakan pengusung untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan dibawa ke Hospital Kota Marudu.
Sementara itu sebuah lagi kenderaan yang dinaiki seorang lelaki 36 tahun dan seorang wanita yang tidak dapat dipastikan usianya berada dalam keadaan selamat. Operasi menyelamat tamat pada pukul 3.54 petang.