fb fb fb fb fb

Ribut di Kodiang, lapan rumah alami kerosakan

Angin puting beliung menerbangkan atap bumbung beberapa buah rumah di Kodiang

JERLUN, 29 Oktober- Hujan lebat serta ribut yang melanda beberapa kawasan di Kodiang, Jerlun, Kedah petang tadi menyebabkan beberapa buah rumah mengalami kerosakan.
 
Setakat pukul 6 petang tadi, lapan buah rumah di Pida 3 dan Pida 4 Baru mengalami kerosakan yang teruk.
 
Menerusi video yang dirakam penduduk setempat menunjukkan angin puting beliung menerbangkan atap bumbung beberapa buah rumah.
 
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (Pertahanan Awam) Mohd Adenin Suhaimi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada orang awam kira-kira pukul 3.45 petang tadi.
 
Beliau berkata, tindakan awal telah diambil oleh Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kubang Pasu, antaranya membuat pemantauan dan membantu membersihkan kawasan terjejas.
 
Setakat ini, kejadian menyebabkan kerosakan pada bahagian struktur rumah dan harta benda dan
tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
 
Mohd Adenin turut menasihatkan penduduk yang terjejas untuk membuat laporan polis bagi membolehkan bancian dilakukan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI