fb fb fb fb fb

Resolusi gencatan senjata ditunggu umat Islam seluruh dunia

Orang ramai di Brussels Belgium mengambil bahagian dalam protes menyokong rakyat Palestin di Gaza dan menuntut gencatan senjata/Foto REUTERS

PUTRAJAYA, 27 Mac - Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi gencatan senjata di Gaza amat ditunggu-tunggu oleh seluruh masyarakat antarabangsa terutamanya umat Islam di seluruh dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar.

Mohd Nai'im berkata dengan resolusi tersebut, ia sekali gus membuka ruang bekalan makanan dan minuman serta bantuan perubatan masuk ke Gaza.

"Begitu juga hospital-hospital yang telah tutup akibat tiada bekalan bahan api juga diharapkan akan beroperasi semula dan dapat memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang cedera.

"Sudah sekian lama, rakyat Palestin di Gaza telah berdepan dengan ujian malapetaka kemanusiaan terutamanya di bulan Ramadhan, tiada makanan dan minuman serta perubatan kerana kekejaman dan kezaliman regim Zionis Israel," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya ketika resolusi ini dicapai, regim Zionis Isreal masih bersikap melampaui batas kemanusiaan dengan meneruskan serangan.

Oleh itu, beliau menyeru seluruh umat Islam terus membaca Qunut Nazilah serta menunaikan solat hajat di surau dan masjid agar Allah swt sentiasa melindungi rakyat Palestin.

"Mengambil keberkatan bulan Ramadan, marilah bersamasama kita melipatgandakan doa kepada saudara-saudara kita di Palestin.

"Pada masa sama menghulurkan bantuan kemanusiaan agar ianya dapat disalurkan ke Gaza, Palestin," katanya.

Pada Isnin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengundi resolusi baharu gencatan senjata di Gaza.

Resolusi baharu itu dirangka selepas Russia dan China menggunakan kuasa veto mereka untuk membantah resolusi yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.

Israel telah melancarkan perang ke atas Gaza pada 7 Oktober tahun lalu tanpa henti sehingga ke saat ini.

Sekurang-kurangnya 32,414 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan 74,787 yang lain telah menjadi mangsa kekejaman Zionis Israel.

Zionis juga telah menyekat akes bantuan makanan di hantar ke utara Gaza, yang merupakan jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva dan Statut Rom.

GRACE AISYAH KEDAYAN