KUALA LUMPUR, 27 Mac- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menguatkuasakan Akta Syarikat (Pindaan) 2024 pada 1 April depan kecuali Seksyen 4, 14, 26 dan 28.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, akta baharu itu merupakan usaha untuk menambah baik peruntukan-peruntukan bawah Akta Syarikat 2016.
Akta Syarikat (Pindaan) 2024 mempunyai dua objektif utama iaitu memperkukuh kerangka rehabilitasi korporat dengan memudah cara syarikat yang menghadapi masalah kewangan. Ia sekaligus menyokong pemulihan ekonomi negara agar terus berdaya saing terutama dalam era pasca pandemik COVID-19.
Selain itu, ia juga bakal mempertingkatkan elemen ketelusan dalam ekosistem sektor korporat dalam negara melalui penambahbaikan pelaporan pemunyaan benefisial. Akta tersebut mengandungi 31 fasal terdiri daripada empat kluster polisi.
"Saya ingin maklumkan bahawa melalui pindaan ini kita laksana penambahbaikan pengukuhan dalam tanggungjawab melaporkan pemunyaan benefisial antara bukan hanya lihat aspek pemilikan saham tetapi dalam aspek kawalan.
"Mana-mana individu yang mengawal syarikat bukan hanya pemunyaan benefisial juga dipertanggungjawabkan bagi maklumat, dengan maklumat tersebut maka agensi kita dapat akses dan mudahkan siasatan," katanya dalam Majlis Pelancaran pusat panggilan SSM yang berwajah baharu dan dikenali sebagai SSM Customer Care (SSMCC) di ibu negara.
Bagaimanapun pindaan berkenaan disambut baik oleh pemain industri kerana ianya dilaksana selepas beberapa siri konsultasi dengan kesemua pihak.
SSMCC merupakan pusat panggilan SSM yang dijenamakan semula selari dengan teras strategik suruhanjaya itu bagi mengoptimumkan penambahbaikan proses, memupuk budaya kerja cemerlang dan menyediakan persekitaran perniagaan dipercayai.
Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, setakat data yang dikemas kini pada 24 Februari lalu, sebanyak 1.5 juta syarikat telah berdaftar dengan SSM dan daripada jumlah tersebut lebih 600,000 syarikat aktif.