PUTRAJAYA, 27 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar India, Dr S. Jaishankar di Pejabat Perdana Menteri, di sini.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, kunjungan itu dalam rangka lawatan kerja beliau ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini.
Lawatan itu juga bertujuan memperkukuh hubungan persahabatan yang erat antara Malaysia dan India dalam pelbagai bidang kerjasama.
"Kedua-dua Menteri mengadakan perbincangan yang telus dan produktif, termasuk bertukar pandangan mengenai pelbagai dimensi hubungan dua hala dan hal ehwal serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
"Kedua-dua Menteri turut membincangkan pertukaran lawatan peringkat tertinggi dan penganjuran Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia–India ke-7 pada satu tarikh yang akan dipersetujui bersama," kata kenyataan itu.
Turut serta dalam pertemuan itu, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sementar itu Dr S. Jaishankar diiringi pegawai-pegawai kanan Kerajaan India dalam rangka kerjanya ke rantau Asia Tenggara yang turut melibatkan Filipina dan Singapura.
Pada tahun lalu, India menjadi rakan dagangan global ke-12 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM77.76 bilion.