PUTRAJAYA, 24 Januari- Satu resolusi telah dibentuk dalam Mesyuarat Penyelarasan Agenda Madani, dalam usaha memastikan agenda Malaysia Madani difahami oleh segenap lapisan masyarakat.
Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Menerusi satu hantaran di media sosialnya, Dr.Zulkifli menyatakan resolusi agenda Madani akan menjadi rujukan terhadap gerak kerja semua pihak dalam mempromosi dan melaksana agenda Malaysia Madani, agar lebih terarah, tersusun dan berfokus.
Pada mesyuarat yang berlangsung di Putrajaya siang tadi, beliau turut mengungkap perkara yang ditekankan oleh General Stanley McChrsytal dalam bukunya Team of Teams, bahawa setiap organisasi perlu bekerja dalam rangkaian ketersambungan (network) dan bukan lagi dalam keterasingan (in silo).
Mesyuarat tersebut juga telah menghimpunkan para pemegang taruh dan penggerak utama agenda Madani, yang antara lainnya dipelopori oleh JAKIM, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Institut Darul Ehsan (IDE), International Institute of Islamic Thought (IIIT), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia.