fb fb fb fb fb

Residivis Malaysia rendah, bukti program pemulihan penjara berkesan

Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara Malaysia, Mohamad Rosidek Musa

KAJANG, 3 September - Kadar residivis atau jenayah berulang dalam kalangan bekas banduan di negara ini direkodkan pada tahap 16 peratus setakat tahun ini, lebih rendah berbanding standard antarabangsa yang ditetapkan pada kadar 20 peratus.

Menurut Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara Malaysia, Mohamad Rosidek Musa, pencapaian itu bukti keberkesanan pelaksanaan pelbagai program pemulihan yang dijalankan, termasuk terapi muzik, pendekatan keagamaan, latihan kemahiran, serta bengkel Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Program pemulihan perlu merangkumi pelbagai elemen seperti terapi muzik, halaqah, pendekatan keagamaan, pendidikan, serta latihan kemahiran melalui bengkel Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan TVET.

"Apabila elemen-elemen ini digabungkan secara menyeluruh, bekas banduan akhirnya memperoleh pekerjaan selepas keluar dari penjara. Bagi kami, itulah ukuran sebenar kejayaan, "katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-68 Peringkat Prospek Penjara Kajang.

Tambah beliau, Jabatan Penjara kini memperkukuh aspek pemulihan banduan melalui pelaksanaan terapi muzik yang menjadi sebahagian daripada pendekatan Model Biopsikososial Spiritual jabatan berkenaan.

“Terapi muzik merupakan salah satu cabang dalam pendekatan sosial yang digunakan dalam proses pemulihan.”

“Melalui muzik, individu dapat meluahkan emosi mereka, menghayati nilai-nilai positif, dan menerima kebaikan dengan lebih mendalam. Inilah yang dimaksudkan sebagai terapi — sama ada terapi muzik mahupun terapi seni seperti lukisan. Pendekatan ini sebenarnya telah lama menjadi sebahagian daripada proses pemulihan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara,” katanya.

Inisiatif itu membuktikan Jabatan Penjara bukan hanya menumpukan kepada disiplin, tetapi turut memberi perhatian kepada kesejahteraan emosi, mental dan rohani banduan.

Pada majlis berkenaan para prospek banduan turut membuat persembahan termasuk pantomim 'Peristiwa Bukit Kepong', deklamasi sajak, serta nyanyian lagu-lagu patriotik.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Penjara berjaya mencatatkan hasil jualan sebanyak RM129,000 menerusi Jualan Rahmah yang berlangsung selama empat hari di Kompleks Penjara bersempena sambutan Hari Kemerdekaan, minggu lalu.

Jualan tersebut merangkumi pelbagai produk keluaran prospek banduan termasuk kerepek, kain tenun dan hasil kraftangan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE