JOHOR BAHRU, 3 September - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan akan mengambil langkah proaktif sekiranya keselamatan pelajar Malaysia di Indonesia terjejas berikutan isu yang melanda negara itu ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, setakat ini keadaan masih terkawal dengan lebih 1,200 pelajar dilaporkan selamat.
"Malah ketika ini kita buat pemantauan dan bekerjasama dengan Kementerian Luar. Jika sebarang kejadian yang mungkin memudaratkan pelajar, maka langkah segera akan diambil," katanya.
Sebelum ini, beliau memaklumkan tiada pelajar Malaysia terlibat dalam demonstrasi atau rusuhan yang berlaku baru-baru ini.
Datuk Seri Dr Zambry berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Digital Innovation Creativepreneur 3.0 (DICE 3.0) di Johor Bahru.