KUCHING, 13 September- Masyarakat perlu sedar mengenai kepentingan anak-anak perempuan menamatkan persekolahan dan tidak terlibat dengan aktiviti berisiko yang boleh menyebabkan kehamilan remaja.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, mereka perlu menamatkan pelajaran sekurang-kurangnya hingga Tingkatan 5, walaupun sudah terjebak.
Ini supaya potensi diri dapat dicapai, seterusnya membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang akan melindungi diri mereka dan bakal anak-anak daripada kemiskinan pada masa depan.
“Kita perlu menjelaskan kepada masyarakat mengapa kehamilan dan perkahwinan remaja berisiko, ibu masih muda dan belum cukup matang untuk menjadi seorang ibu, ia juga melibatkan isu kesihatan dan kemiskinan.” ujar beliau dalam kenyataan media.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS) di pejabatnya di Kuching.
Pada kunjung hormat tersebut, SWWS memaklumkan mengenai siri dialog anjuran mereka, yang membincangkan pandangan mengenai perkahwinan bawah umur dalam komuniti.
Laporan hasil dialog melibatkan masyarakat pelbagai latar itu akan dikaji untuk mencari jalan penyelesaian yang mungkin boleh dilakukan bagi menangani isu perkahwinan bawah umur.
Dua siri dialog sudah dibuat tahun ini dan empat lagi tahun depan di Sri Aman, Kapit, Miri, Long Lama dan Lawas. Hasil dialog akan dibentang pada awal tahun 2026.