ALOR SETAR, 19 Februari- Seorang remaja perempuan maut, manakala adik lelakinya cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Gunung Keriang, sini, pukul 2.10 petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, hasil siasatan mendapati motosikal dinaiki oleh kedua-dua mangsa berusia 19 dan lima tahun itu dari arah lampu isyarat Alor Janggus menuju ke lampu isyarat Gunung Keriang.
Lori yang dipandu lelaki berusia 58 tahun tersebut pula dari simpang jalan tar mini di kawasan berkenaan.
Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa melanggar sisi kiri bahagian belakang lori yang melintas secara tiba-tiba sehingga menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak.
Remaja terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala, manakala adiknya mengalami pendarahan di kepala.
Kedua-duanya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.
Pemandu lori yang menyerah diri ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.