fb fb fb fb fb

Remaja pandu kereta tanpa lesen, akibatkan seorang maut di Kedah

ALOR SETAR, 23 Oktober- Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggang bersama kakaknya, dilanggar sebuah kereta yang dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun, di Jalan Kuala Kedah, pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali menerusi kenyataan berkata dalam kejadian itu Nur Syafiqah Abdullah, 32 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kakaknya, Nooraliza, 43 tahun, dilapor cedera.

Katanya, ketika kejadian kira-kira pukul 7.05 malam itu, motosikal ditunggang kedua-dua mangsa menghala ke arah Kuala Kedah dari lampu isyarat Taman Bersatu.

Kereta yang dipandu remaja perempuan itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan mangsa, ketika cuaca hujan sebelum merempuh kedua-dua mangsa.

Superintenden Syed Basri berkata pemandu remaja itu hanya luka di hidung selain tidak mempunyai lesen.

Kenderaan yang dipandu remaja itu dipercayai milik rakan ibunya dan pihak polis telah mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan atas kesalahan membenarkan remaja bawah umur memandu.


(Foto Ihsan PDRM)

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Media Baharu