KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Hasil libat urus bersama-sama pihak berkepentingan berhubung isu penggunaan kalimah Allah akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja pada hujung Oktober.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dapatan daripada sesi libat urus itu akan menjadi panduan ke arah membentuk satu garis panduan baharu berhubung isu tersebut.
Jelasnya, ketika ini hasil perbincangan telah dibentang kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kemudian akan dibentang dalam Mesyuarat Raja-Raja yang akan bersidang pada 25 hingga 27 Oktober ini.
"Kita adakan sesi libat urus lima kali dan kemudian hasil libat urus itu telah kita bentangkan kepada MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, saya difahamkan agenda hasil libat urus itu sebagai satu cadangan kearah membina satu arahan pentadbiran baru.
"Dijadual akan dibentangkan kepada mesyuarat Raja-Raja yang akan bersidang 25 hingga 27 Oktober, itu hasil sekarang ini, hasil perbincangan sudah ada sudah dah dibentang kepada MKI dan dijadual dibentangkan oleh sekretariat MKI pada Majlis Raja-Raja. Kementerian Dalam Negeri akan mengambil panduan daripada itu untuk adakan garis panduan yang baru bagi isu penggunaan kalimah Allah," kata Saifuddin, di Dewan Rakyat.
(Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail)
Menurutnya, lima sesi libat urus itu melibatkan cendekiawan Islam, ahli akademik, sosiologi dan keselamatan awam, aktivis dalam bidang perundangan sivil dan syariah, badan pengurusan syariah Malaysia dan badan pengurusan keharmonian agama.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.