SUNGAI PETANI, 8 Julai - Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas, awal pagi tadi.
Kemalangan berlaku di Kilometer 101.2, Lebuhraya Utara Selatan arah utara kira-kira pukul 1.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata mangsa dipercayai menunggang motosikal dengan laju di lorong kanan lebuh raya sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

"Mangsa, Mohamad Adam Ikmal Mohd Noor berusia 17 tahun berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang dalam perjalanan dari arah Plaza Tol Sungai Petani Selatan menuju ke Plaza Tol Sungai Petani Utara.
"Akibat kemalangan itu, mangsa yang mengalami kecederaan serius di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 419(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.