(Remaja berusia 15 tahun lemas di Tasik Tiga Beradik)
PASIR GUDANG, 24 Oktober- Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditemui lemas ketika beriadah bersama rakan di Tasik Tiga Beradik, Pasir Gudang, Johor kira-kira 10.00 pagi tadi.
Seorang lagi mangsa, juga berusia 15 tahun berjaya diselamatkan orang awam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar memaklumkan, kesemua remaja tersebut terdiri daripada empat orang lelaki dan dua orang perempuan melakukan aktiviti mendaki, sebelum mandi di tasik berkenaan.
Mayat mangsa ditemui di tasik kira-kira tiga meter itu dan sejauh tujuh meter dari kawasan tebing.
Mangsa kemudian dibawa naik sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Manakala mangsa yang terselamat dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.
(Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menyelamatkan mangsa kedua)