(Lawatan Negara Seri Paduka Baginda berdua ke Singapura melambangkan hubungan dua hala
yang mesra dan erat selain menjadi jambatan memperkukuhkan lagi hubungan baik serta
kerjasama dalam pelbagai bidang)
SINGAPURA, 24 Oktober - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Singapura selama empat hari bermula esok.
Lawatan berkenaan atas undangan Presiden Singapura, Halimah Yacob.
Pada awalnya, Lawatan Negara ini telah dijadualkan pada 19 September 2022 namun ditangguhkan susulan Lawatan Khas Seri Paduka Baginda berdua ke London, bermula 16 hingga 21 September.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua dijangka pada pukul 10.30 pagi, diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.
Antara program yang telah diatur termasuklah Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Singapura.
(Lawatan Negara Seri Paduka Baginda berdua ke Singapura melambangkan hubungan dua hala
yang mesra dan erat selain menjadi jambatan memperkukuhkan lagi hubungan baik serta
kerjasama dalam pelbagai bidang)
Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pula akan menghadap Seri Paduka Baginda dan menghoskan Majlis Makan Tengahari.
Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan berangkat melawat tempat-tempat bersejarah serta beberapa fasiliti kerajaan Singapura.
Menerusi kenyataan Kementerian Luar, Lawatan Negara ini melambangkan hubungan dua hala yang mesra dan erat selain menjadi jambatan memperkukuhkan lagi hubungan baik serta kerjasama dalam pelbagai bidang.
Laporan Vimala Kasturi Verasamy.