fb fb fb fb fb

Sabah peruntuk lebih RM120 juta untuk tajaan pelajar IPT dalam dan luar negara

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama dan Pendidikan negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

ALOR SETAR, 1 Mei – Kerajaan Negeri Sabah memberi jaminan tiada pelajar baharu dari negeri itu yang tercicir daripada menerima bantuan atau penajaan pendidikan, sama ada di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam atau luar negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama dan Pendidikan negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, lebih RM120 juta diperuntukkan tahun ini melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), berbanding RM51 juta pada tahun lalu bagi menampung keperluan 4,000 pelajar baharu.

Menurutnya, bantuan biasiswa yang ditawarkan ketika ini mencukupi bagi pelajar Sabah yang belum atau masih ingin memohon.

“Pelajar yang belum mendapat biasiswa diminta segera merujuk kepada penaja kerajaan negeri seperti TPNS, Yayasan Sabah, dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Tiada masalah untuk anak-anak Sabah menyambung pelajaran, malah kita mahu mereka terus ke peringkat lebih tinggi – sama ada ijazah sarjana muda, sarjana mahupun PhD,” katanya.

Sejak dua tahun lalu, sebanyak RM13 juta telah disalurkan melalui TPNS untuk manfaat kira-kira 9,000 pelajar dari Sabah.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan dana RM10,000 melalui Sekretariat Mahasiswa Sabah (SEMESTA) untuk menyokong pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti mahasiswa Sabah di IPT.

Mohd Arifin berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Mahabbah pelajar Sabah di Semenanjung Utara, melibatkan 150 pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS).

Salah seorang pelajar, Sharina Erasuara dari UUM menyambut baik sokongan kerajaan negeri yang disifatkannya sebagai amat membantu.

“Kami banyak menerima bantuan, antaranya subsidi tiket penerbangan melalui program GRS 'Graduan Rindu Sabah', dan juga bantuan one-off berjumlah RM600,” katanya.

Program Mahabbah merupakan inisiatif tahunan kerajaan negeri yang menjelajah ke setiap negeri untuk mendekati dan mengenal pasti keperluan pelajar Sabah di seluruh IPT.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN