(Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor/Foto BERNAMA)
KOTA KINABALU, 24 Oktober - Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional (GRS-BN) memuktamadkan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pembahagian kerusi berkenaan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon.
Menurut beliau, kerjasama GRS-BN akan mengukuhkan lagi gabungan ini dalam menghadapi PRU15.
"Semuanya baik-baik, kerjasama di antara Barisan Nasional dan GRS dalam pilihanraya umum yang akan datang ini dan kita akan pastikan kerjasama ini menjadi satu kekuatan kepada kerajaan negeri kerana kerajaan negeri adalah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah dan juga Barisan Nasional," kata beliau yang juga Ketua Menteri Sabah ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
(Foto fail)
Mengulas mengenai cadangan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai pemilihan Timbalan Perdana Menteri dari Sabah akan dilantik sekiranya gabungan berkenaan menang dalam PRU15, Hajiji menyokong penuh cadangan tersebut dan akan memilih pemimpin yang benar-benar layak untuk jawatan tersebut.