KUALA LUMPUR, 11 Jun- Aktiviti luar kelas di institusi pendidikan tinggi (IPT) disaran dijadikan sebagai kursus berkredit bagi menambah nilai kepada pembangunan sahsiah, etika dan kepimpinan pelajar secara lebih holistik.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pendekatan itu sejajar dengan aspirasi pendidikan tinggi negara yang menekankan konsep pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar.
Katanya, saranan itu turut menyokong Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) 2015–2025 untuk melahirkan graduan holistik, seimbang dan berdaya saing.
“Ramai pelajar mengambil kursus mata pelajaran umum atau subjek elektif bebas hanya untuk memenuhi keperluan akademik tanpa menghayati nilai sebenar yang ingin disampaikan.
"Aktiviti anjuran kolej bersifat 'learn by doing', melibatkan pelajar dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan, sekali gus memberi kefahaman lebih mendalam terhadap objektif dan falsafah aktiviti yang disertai,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, antara contoh aktiviti luar kelas yang dijalankan termasuk program sukarelawan di rumah orang tua dan komuniti gelandangan mampu membina empati serta nilai kemanusiaan sejagat dalam diri pelajar.
Katanya, pengiktirafan aktiviti berkenaan sebagai kursus elektif bebas dan berkredit akan menjadi insentif kepada pelajar dan meningkatkan penglibatan lebih ramai dalam aktiviti yang membina sahsiah.
"Ketika ini, aktiviti IPT sering disertai kumpulan pelajar yang sama kerana tiada ganjaran akademik yang mendorong penyertaan meluas.
"Aktiviti luar kelas turut merangkumi elemen penting seperti kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan pengurusan program secara langsung," katanya.
Jelasnya lagi, nilai-nilai terbabit amat penting untuk melahirkan graduan bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai keperibadian dan kematangan sosial.
Pihak MQA, katanya, menyokong penuh usaha institusi untuk mengiktiraf aktiviti sedemikian selagi memenuhi keperluan standard penilaian kualiti yang ditetapkan.
"Langkah ini turut membantu memperkukuh sumbangan aktiviti di luar kelas termasuk di peringkat kolej kediaman di IPT dalam mencorak pembangunan pelajar secara menyeluruh dan bermakna.
"Pengalaman kampus yang holistik ini seiring dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk mengangkat Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global,” katanya.