SERDANG, 11 Jun -Hasrat untuk melakukan transformasi sektor pertanian perlu mengambil kira hakikat bahawa masih ramai petani kecil yang kekurangan modal untuk melabur dalam teknologi moden.
Menurut Ketua Pengarah Pertanian, Dato’ Nor Sam Alwi, kebanyakan petani di negara ini berada pada tahap rendah dalam menguasai penggunaan teknologi kerana majoriti petani berumur 50 tahun ke atas dan mereka aktif demi kelangsungan hidup keluarga.
“Kekurangan tenaga fizikal menyukarkan mereka untuk meningkatkan produktiviti serta menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi baharu dalam bidang pertanian,” katanya dalam satu persidangan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Selasa.
Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan (PKMK2025) anjuran UPM menerusi Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) itu, memberi ruang dalam membincangkan hala tuju dasar pertanian serta keterjaminan makanan negara.
Jelasnya, petani dalam kelompok berpendapatan rendah atau tidak mampu, kekangan modal menjadi penghalang utama untuk mengakses teknologi moden dan input pertanian berkualiti.
Justeru, menerusi program kendalian Jabatan Pertanian para petani digalakkan untuk menghasilkan inovasi sendiri bagi mengatasi masalah dihadapi mereka.
“Pengiktirafan akan diberikan kepada mereka melalui program inovasi yang dianjurkan oleh pihak kami, dan inovasi tersebut boleh dimanfaatkan oleh petani lain yang kurang berkemampuan bagi membantu meningkatkan hasil serta pendapatan mereka.
“Kami juga menekankan pentingnya kolaboratif antara petani, pakar dan pihak agensi bagi memastikan inovasi tersebut relevan dan mampu memberi impak positif jangka panjang kepada komuniti pertanian,” jelasnya.
Ketua Pengarah Pertanian, Dato’ Nor Sam Alwi (kanan) dan Pengarah Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti & Persekitaran MARDI, Dr. Mohd. Shukri Mat Ali@Ibrahim/Foto UPM
Dalam pada itu, agrobiodiversiti turut memberikan peluang dalam menjamin kelestarian sektor pertanian serta keterjaminan makanan negara.
Pengarah Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti & Persekitaran (BE), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohd. Shukri Mat Ali@Ibrahim berkata, sumber agrobiodiversiti memainkan peranan penting melalui pelbagai fungsi ekosistem seperti pendebungaan, kawalan penyakit dan perosak, serta pengekalan kesuburan tanah.
Beliau menjelaskan bahawa agrobiodiversiti juga menjadi takungan genetik penting untuk penyelidikan dan pembangunan (R& D), terutamanya dalam usaha meningkatkan daya tahan tanaman terhadap tekanan persekitaran yang semakin mencabar.
“Perubahan iklim memberi kesan ketara terhadap pengeluaran makanan asas, khususnya beras tempatan. Justeru, kita perlu melihat agrobiodiversiti sebagai ‘insurans semula jadi’ yang perlu dimanfaatkan secara sistematik dan saintifik,” katanya.
Sebagai langkah strategik, MARDI membangunkan koleksi sumber genetik padi dan tanaman tempatan, termasuk varieti liar, melalui platform seperti MyGeneBank dan Bank Gen Padi sebagai asas kepada pembangunan varieti baharu yang lebih tahan terhadap tekanan persekitaran.
Tambahnya, protokol regenerasi yang efisien turut dibangunkan bagi memastikan bahan genetik ini dapat dipulihara secara mampan.
Penyelidikan turut menggunakan pendekatan molekular bagi menyaring dan mengenal pasti gen, protein serta metabolit berpotensi tinggi yang dapat menyumbang kepada peningkatan hasil dan daya tahan tanaman.
Dr. Shukri menegaskan bahawa kerjasama antara penyelidik, universiti dan agensi kerajaan amat penting bagi memperkasa agenda agrobiodiversiti negara.
“Ini bukan hanya soal pemuliharaan. Ia adalah pelaburan untuk masa depan pertanian negara yang lebih mampan, inovatif dan berdaya tahan,” katanya.
PKMK2025 menghimpun seramai 686 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan industri bagi membincangkan hala tuju dasar pertanian serta keterjaminan makanan negara.