SINTOK, 11 Jun – Pemegang taruh boleh memainkan peranan berkesan dalam melakukan transformasi ekosistem dunia digital yang sangat diperlukan untuk memperkasa komuniti ke arah celik digital.
Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad berkata, celik digital sangat penting pada hari ini kerana perkembangan teknologi digital yang pesat dan penggunaannya secara meluas dalam kehidupan individu.
“Pemegang taruh yang dimaksudkan adalah pihak kerajaan dan penggubal dasar, sektor akademik, sektor swasta dan pembentukan kerjasama global. Bagi sesebuah kerajaan dan penggubal dasar, mereka berupaya membantu proses pemerkasaan komuniti celik digital contohnya melalui penggubalan rangka kerja keselamatan siber dan urus tadbir teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Bagi sektor akademik pula, mereka boleh melakukan kemas kini sukatan pendidikan tinggi dengan menekankan soal etika digital dan penggunaan AI. Sektor swasta pula merangkumi firma-firma teknologi yang perlu mewujudkan platform-platform yang selamat kepada pengguna. Di peringkat global, satu kerjasama rentas sempadan dan pelaksanaan rangka kerja antarabangsa bagi menyokong usaha memperkasa celik digital dalam kalangan orang ramai,” menurut Dr. Mohd Khairie.
Apabila dunia dilanda COVID-19, penggunaan teknologi digital meningkat secara mendadak dengan jumlah pengguna dalam talian pada hari ini adalah sekitar 5.56 billion daripada penduduk dunia (67.9 peratus).
Manakala, 5.24 bilion pula merupakan pengguna aktif media sosial.
Katanya lagi, celik digital bukan hanya fokus kepada tahu cara menggunakan sesuatu teknologi digital terkini tetapi merangkumi keupayaan pengguna berfikir secara kritikal, mampu bertanggungjawab dan melayari ruang digital dengan beretika.
“Apabila pengguna menjadi celik digital, mereka mampu menangani ancaman siber, penyebaran maklumat salah, boleh memanfaatkan teknologi digital ke arah peningkatan ekonomi, membantu merapatkan jurang digital, menjadi warganegara digital yang bertanggungjawab dan menyumbang ke arah mewujudkan ekosistem digital yang selamat dan terangkum. Bagi mencapai perkara-perkara ini, ia memerlukan peranan pemegang taruh yang berkesan untuk transformasi ruang digital,” kata beliau lagi.
Ini kerana, seiring dengan perkembangan teknologi digital, masalah penyebaran maklumat salah, penularan kandungan palsu dan buli siber semakin meluas terutama yang menyasarkan golongan muda.
Menurut Dr. Mohd Khairie, tanpa urus tadbir AI yang beretika dan kesedaran kendiri, alat serta teknologi boleh membawa impak negatif kepada komuniti.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Resilient Digital Society: Literacy and Ecosystem Transformation” sempena 3rd. International Conference on Media and Communication anjuran Bahauddin Zakaria University, Multan, Pakistan.