fb fb fb fb fb

Ibadah Korban YADIM 2025: Erat persaudaraan, dalami erti pengorbanan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan

HULU LANGAT, 11 Jun - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berperanan besar dalam meningkatkan ikatan ukhuwah dan persaudaraan selain menyebarkan dakwah dalam kalangan masyarakat.

Justeru, Ibadah Korban Perdana anjuran YADIM merupakan salah satu platform dalam menyatukan umat Islam melalui semangat bergotong-royong dan kerjasama, sekali gus menerapkan secara lebih mendalam mengenai nilai pengorbanan.

"Program gotong-royong ini dilaksanakan bagi mengagihkan daging korban kepada pihak yang memerlukan, selaras dengan hukum dan syarak yang telah ditetapkan. Alhamdulillah, apa yang paling penting adalah menunjukkan bagaimana YADIM sebagai sebuah organisasi dakwah berjaya menghimpunkan orang ramai bagi menghidupkan semangat Aidiladha serta semangat pengorbanan. Ia juga jelas membuktikan bahawa nilai ukhuwah dan persaudaraan dapat diperkukuhkan melalui pengorbanan yang dilakukan dengan sebaik-baiknya."

Beliau berkata demikian selepas turut sama menyertai aktiviti sembelihan dan pengagihan daging korban 6 ekor lembu serta kambing  di Institut Latihan Dakwah Islamiah (INDAH) Hulu Langat, di sini, pada Selasa.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), badan bukan kerajaan (NGO), pelajar dari Kolej Dar al-Hikmah dan Institut Pendidikan Guru Bangi serta komuniti setempat.

Program itu juga akan diperluas menerusi pelancaran Projek Menabung Untuk Korban Bersama YADIM yang dijadual bermula Muharam ini.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE