fb fb fb fb fb

Pelajar B40 Kedah terima manfaat bantuan pendidikan program CSR YPM

KUALA NERANG, 24 Oktober- Sejumlah 10,506 pelajar B40 di Kedah menerima manfaat bantuan pendidikan bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata bantuan itu melibatkan peruntukan lebih RM1.8 juta sepanjang tahun ini.

Ia disalurkan melalui pelbagai program pendidikan YPM yang dilaksanakan sepanjang tahun.

"Antaranya Skim Bantuan Persekolahan, Dana Ehsan Pendidikan, Program Tuisyen Pintar, Program Kecemerlangan Modal Insan, Skim Anak Angkat dan Pembiayaan Pendidikan Tertiari.

"Syabas dan tahniah kepada YPM atas pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan dalam membantu golongan yang memerlukan ini.

"Usaha tersebut perlu dilaksanakan bagi memastikan anak-anak luar bandar terutamanya daripada golongan B40 tidak keciciran dalam pelajaran selain meringankan tanggungan ibu bapa" kata Mahdzir dalam sidang media selepas majlis pelancaran Program Pendidikan YPM Daerah Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, di sini.

(Pelajar B40 Kedah terima manfaat bantuan pendidikan program CSR YPM)

Turut hadir Pengerusi YPM, Datuk Mohd Razman Yaacob; Pengerusi MARA Corporation Sdn Bhd, Senator Datuk Othman Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Mohd Amran Mat Ariffin dan Ahli Majlis MARA, Datuk Ibrahim Saad.

Beliau turut menyaksikan penyerahan tiga replika cek sumbangan bantuan persekolahan YPM bernilai RM95,000, bantuan keluarga pelajar asnaf UNIMARA sebanyak RM18,700 dan sumbangan keluarga asnaf RCB berjumlah RM17,500.

Seramai 693 pelajar dan 75 keluarga B40 di daerah Padang Terap menerima sumbangan berbentuk bantuan persekolahan wang tunai dan komputer riba.

Manakala 3 buah sekolah menerima sumbangan tunai berjumlah RM5,000 bagi setiap sekolah.

Media Baharu